Majalah Anjung Seri Ogos 2012

Salah satu terapi buat saya adalah membeli majalah tetapi bukan majalah hiburan ye! MIDI, RAPI,SOLUSI,ANIS, IMPIANA, ANJUNG SERI, ASUH - wajib beli setiap keluaran.

Beli tetapi kadangnya saya tak sempat baca pun. Tetapi setiap kali membeli hati terasa sangat seronok walaupun tak siapa yang tau keseronokan itu.

Semalam turun ke kedai mamak kat tingkat bawah ofis, ternampak Majalah Anjung Seri keluaran Ogos, terus beli.


Mungkin nak bershopping besar diluar kemampuan saya, membeli majalah je yang sesuai dengan kemampuan yang boleh dijadikan terapi.

Anda pulak bagaimana? Ada cara tertentu yang memang memberikan kepuasan dan keseronokan?

Umar dan puasa

Ni entry ekspress, taip dengan kelajuan yang sama dengan kelajuan roket he he.

Hari ni hari yang ke 5 puasa...nampaknya Umar dapat menjalani ibadah puasa macam orang lain jugak..Syukur dia dapat melaluinya walaupun mungkin kurang sempurna kerana dia sahur agak lewat sikit yakni dah habis waktu sahur baru dia makan sahur.

Ketika di sekolah memang dia ceria dan segar bugar tetapi balik je rumah dia akan mula buat perangai..lapar dan dahaga di bibir mulut je...begitu la ragam dia setiap petang, macam-macam cara dia lakukan untuk menarik perhatian orang agar memberi dia minum dan makan, dah le duduk di tepi makanan je. Berbeza dengan si kakak, yang hanya banya terbaring atas sofa je kala menunggu waktu berbuka.

Bila dah berbuka, Umar makan cukup banyak, dia la orang terakhir yang menghabiskan makanan.

Waktu sahur pun dia akan makan banyak, kakak hanya makan sesuap dua je.

Semoga hari ni Umar akan terus bertahan hingga ke waktu berbuka seperti hari-hari yang lepas.

Selamat Bersahur dan Selamat Berpuasa!

Amalan Praktikal di Bulan Ramadhan

Dah 3 hari dah pun kita puasa, kan? Hari ni masuk hari ke 4..Alhamdulillah masih lagi kita berupaya untuk bersama-sama merebut pahala dan menambah takwa kepada Allah. 

Hari ni jom kita refresh balik pengetahuan dan amalan kita, kot-kot masih ada yang boleh diperbaiki, 

Untuk hari ni ,  meh kita semak semula apakah amalan praktikal di bulan Ramadhan. 

Ni lebih kurang jadual yang boleh kita susun supaya amalan dan pengurusan waktu menjadi lebih teratur: 

1. Berwuduk untuk tunaikan solat sunat 2 rakat Tahajjud. 


2. Bersahur untuk menikmati makanan atau minuman walaupun sedikit secara berjemaah 

dengan ahli keluarga, kerana ia merupakan amalan sunat yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. 

3.Bersiap untuk menuju ke masjid atau surau, solat 2 rakaat Tahuyyatul Masjid dan sunat sebelum subuh serta niat untuk beriktikaf. 


4.Solat Subuh berjemaah dan duduk seketika untuk berwirid zikir serta membaca Al-Quran. 


5.Bersiap untuk ke pejabat dan sebagainya dengan membaca doa memakai pakaian, keluar rumah dan menaiki kenderaan, jika berkereta, pasang Al-Quran sebagai zikir kepala Allah atau membaca Ma'thurat sepanjang perjalanan. 


6.Menjaga waktu solat pada awal waktu walaupun di surau pejabat atau ke masjid untuk solat Zuhur secara jemaah. 


7.Waktu makan yang terluang dalam Ramadan diisi dengan pembacaan Al-Quran atau rehat seketika. 


8.Membaca zikir Ma'thurat petang dalam perjalanan pulang ke rumah. 


9. Jika anda seorang isteri yang berkerjaya, sekurangnya-kurangnya dapat menyediakan air minuman untuk keluarga, agar tidak terlepas satu petang pun di bulan Ramadhan tanpa dapat pahala menyediakan juadah bagi orang yang berpuasa. 


10.Berbuka puasa secara jemaah, sama ada di rumah, di masjid atau di surau , dengan dimulakan dengan memakan kurma serta elakkan diri dari makan terlalu kenyang yang boleh menjejas amalan yang lain. 


11.Menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. 


12.Bersiap untuk solat Isyak dan Terawih. 


13. Bersedia untuk mendnegar tazkirah Ramadan, menuntut ilmu di dalamnya adalah wajib, elak dari berbalah mengenai jumlah rakaat terawih, 8 atau 20 dibolehkan. 


14.Tadarrus Al-Quran/membaca Al Quran di samping menelaah maksud ayat-ayat yang dibaca untuk mendapat kefahaman dan pahala. 


15.Disarankan melakukan kunjungan/ziarah saudara-mara, sahabat handai bagi mengeratkan hubungan silaturrahim. 


16. Disarankan mengundang jiran,sahabat ke rumah dengan menyediakan juadah berbuka puasa didahului dengan ucapan ringkas tazkirah sebelum berbuka. 


17. Banyakkan mendengar nasihat, motivasi, kaunseling agama dalam bulan Ramadhan. 


18. Kurangkan atau elakkan daripada menonton, mendengar hiburan yang boleh menjejas pahala amalan sepanjang Ramadan. 


19. Elakkan daripada berboros ketika menyediakan hidangan berbuka. 


20. Perbanyakkan sedekah dan bertegur sapa dengan mereka yang tidak bersedia untuk berkawan. 


21.Hormati bulan Ramadhan deng
an menutup aurat dengan sempurna. 

Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
"Kalaulah hamba-hamba Allah tahu apa yang ada dalam bulan Ramadhan , mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun ini dijadikan Allah sebagai bulan Ramadhan". 

Sama-samalah kita merenung agar Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik pernah kita lalui. 

(Sumber daripada Harakah) 

Tip Didik Anak Belajar Berpuasa

Tahun ni kali pertama Umar berpuasa, sebelum masuk Ramadhan, nampaknya dia agak teruja untuk sama-sama mengerjakan ibadah puasa. 

Pada hari pertama puasa semalam, Umar bersahur a.k.a bersarapan pagi jam 6.45 pagi , 15 minit sebelum kami berdua keluar ke pasar. 

Balik dari pasar , seperti biasa singgah di rumah makcik sebab dia pun tumpang sekali ke pasar, Umar sekali lagi makan, kali ni makan nasi goreng, kiranya ni sahur ke dua la...tetapi jam 9 pagi dia dah stop makan dan teruskan puasa hingga ke petang.

Agak tak sangka kerana Umar dapat bertahan ke petang, jam 6 petang kami ke kedai runcit, beli roti yang diinginkan oleh Umar sejak malam semalam lagi. Dapat je roti tu, dia terus masuk mulut dan kunyah, tetapi belim sempat ditelan, saya ternampak dan terus minta dia keluarkan roti daripada mulut. Agak kecewa nampaknya dia kerana tak sempat nak telan roti tu. 

Untuk kali pertama ini, saya sangat bersyukur kerana Umar dapat berpuasa hingga ke waktu berbuka walaupun ianya tidaklah sesempurna mana, tak apalah, dia pun belum 6 tahun lagi sebenarnya. .sekadar berlatih puasa.

Hari ke 2, ni saya belum pasti Umar masih ingin berpuasa atau tidak, tengok ketika dia berbuka semalam, memang macam tak jumpa nasi seminggu he he.

Ok, kali ni saya nak share tip yang saya baca di dalam Majalah MIDI.

Ada beberapa tip yang berguna untuk ibu seperti saya dan juga sahabat semua, sebagai panduan untuk mendidik anak kecil kita berpuasa. 

1. Ceritakan kepada anak kita tentang faedah puasa. Kenapa kita orang Islam perlu berpuasa.

2. Biarkan mereka berpuasa mengikut kemampuan mereka, dalam erti kata yang lain, jangan memaksa dia meneruskan puasa hingga waktu berbuka andainya dia sudah benar-benar tidak mampu untuk meneruskannya lagi. 

3. Beritahu anak kita puasa itu bukan setakat tidak makan dan tidak minum saja tetapi perlu menjauhkan diri daripada sifat malas, marah, mengata orang. 

4. Didik dia bangun sahur. Beritahu dia tentang kebaikan bersahur. 

5. Galakkan anak kecil kita tidur awal pada malam hari untuk memudahkan anak bangun bersahur. 

6. Tunaikan solat Subuh berjemaah sekeluarga. 

7. Sebagai penambah semangat dan dorongan, sediakan makanan kegemaran si anak kala berbuka. 

8. Hindari anak kita daripada melalui kawasan yang mampu memberi dugaan kepada dia, contohnya melalui restoran makanan segera . 

9. Jangan biarkan anak terlalu banyak menonton TV atau bermain game. Galakkan dia melakukan aktiviti berfaedah seperti mengaji, mendengar bacaan Al Quran 

10. Libatkan anak-anak dengan aktiviti kebajikan 
a - Sedekah makanan kepada yang memerlukan 
b.  Memberi derma pakaian atau sebagainya 

11. Kurangkan bermain yang boleh memenatkan, contohnya bermain basikal, bola sepak 
12. Iangan bandingkan kemampuan berpuasa antara anak-anak kita walaupun mereka adalah adik beradik. 
13. Cuba tawarkan ganjaran tetapi jangan keterlaluan. 
14. Elakkan anak kita daripada terlalu kerap melihat jam kerana ianya akan membuatkan masa seolah makin lambat bergerak. 

Anda sahabat semua pula bagaimana ? Dapat berpuasa hingga ke waktu berbuka?


Cantik & Segar Biarpun Berpuasa

Bulan puasa biasanya muka saya akan jadi kering dan kusam je...mungkin sebab utama kurang air ( ikut pengetahuan saya yang tak seberapa ni la , kan)


Berikut ada beberapa tip untuk kekal cantik dan segar walaupun sedang berpuasa.

1. MINUM AIR DENGAN BANYAK
Berpuasa sering menyebabkan tubuh sering kekurangan air. Justeru minum air putih sebanyak mungkin ketika bersahur dan berbuka kerana kesegaran kulit diperoleh daripada cecair yang masuk ke dalam tubuh. Elakkan mengambil minuman berkarbonat, kopi dan teh yang bersifat diuretic ( mendorong pengeluaran air kencing). Banyakkan juga makan buah-buahan segar ketika berbuka dan bersahur.

2. GUNAKAN KRIM PELEMBAP
Krim pelembap wajah dan losen badan adalah sebahagian perawatan yang tidak kurang pentingnya dibulan puasa. Bagi mengekalkan kelembapan kulit anda, gunakan kosmetik atau krim kecantikan yang mengandungi pelembap dan kolagen. Pastikan anda sentiasa menyediakan losen dimeja kerja anda (terutama bagi anda yang berkerja dalam ruang berhawa dingin) bagi memudahkan anda menggunakannya saat memerlukan.

3. KENAKAN SOLEKAN NIPIS.

Jangan jadikan puasa untuk menjadikan penampilan anda kelihatan tidak bermya dan pucat tanpa solekan. Tidak perlulah anda mengenakan solekan tebal, cukuplah sekadar bersolek nipis dengan menggunakan warna-warna natural atau pastel. Menggunakan bedak dengan sapuan nipis, celak dan pelembap bibir mungkin sudah memadai untuk memberikan kesegaran pada wajah.

4. JANGAN BANYAK TIDUR
Keletihan berpuasa bukanlah alasan untuk tidur sepanjang hari. Tidur yang terlalu banyak di bulan puasa hanya akan menyebabkan wajah kelihatan sembap dan lesu. Justeru, lakukan perlbagai aktiviti yang tidak memenatkan bagi menghalang anda daripada terus mengikut perasaan letih itu. Manfaatkan masa yang ada tersebut untuk meningkat amal ibadat anda.

5. AMALKAN PEMAKANAN BUAH KURMA
Buah kurna sememangnya diakui cukup tinggi khasiatnya. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan badan malahan baik untuk kulit. Buah kurma mengandungi protein, vitamin B6, serat dan mineral. Ia juga dapat menjauhkan kita daripada berdepan dengan infeksi kulit selain melambatkan proses penuaan. Amalan memakan kurma adalah sunat. Ambil tiga biji kurmma setiap kali berbuka kerana ia membantu mengembalikan semula paras gula di dalam darah ke tahap yang normal.

6. MANDI DENGAN AIR SEJUK
Jika sebelum ini anda sering menggunakan air hangat ketika mandi, maka pada bulan puasa ini cubalah ubah cara tersebut. Mandi dengan air hangat boleh menyebabkan lemak pada lapisan epderdemis kulit hilang dan akhirnya mengakibatkan kulit menjadi kering. Manakala air sejuk dapat memberi dan membekalkan kesegaran buat tubuh anda.

7. AMBIL VITAMIN ATAU MULTIVITAMIN
Agar sentiasa kelihatan cantik dan segar jangan lupa untuk mengambil vitamin atau multivitamin tambahan untuk tubuh anda. Berpuasa menyebabkan tubuh kekurangan zat-zat tertentu yang kebiasaanya diperolehi dibulan lain. Pastikan anda mengambil vitamin A, C dan E untuk menjaga kehalusan kulit,.

Tip Berjimat Di bulan Puasa

Ramai yang berazam nak berjimat bila tibanya bulan puasa tetapi ramai yang kalah dengan azam tersebut, mungkin kuat sangat panggilan Pasar Ramadhan kot.


Jom kita berkongsi tip yang mungkin dapat membantu kita untuk berjimat.


1. Jangan terlalu ikut hawa nafsu  - biasanya niat asal nak beli sikit je tapi bila dah sampai di Pasar Ramadhan, lain jadinya...tergoda dengan pujukan nafsu akhirnya, membazir kerana tak habis dimakan. 

2. Rancang perbelanjaan - rancang dan mesti ikut apa yang dirancang..kalau takat rancang cantik-cantik macam saya ni, sampai di Pasar Ramadhan tak ikut rancangan itu, memang hancuss jugak...yang penting rancang dan patuh pada rancangan yang telah dibuat. 

3. Masak sendiri - tahun ni memang perancangan saya untuk memasak sendiri setiap hari untuk berbuka, kalau nak ke Pasar Ramadhan tu mungkin untuk mencari kuih je. Harapnya perancangan ini akan menjadi kenyataan. Insyaallah. 

4. Berbuka di Masjid atau Surau - ini sesuai untuk mereka yang masih bujang. Lepas berbuka terus boleh solat berjemaah, selesai solat terawih barulah pulang ke rumah,ini amalan adik saya yang masih bujang tu , jimat kos dan jimat masa katanya. 

5. Fokus pada ibadah bukan berbelanja - Bulan Ramadhan adalah pesta ibadah bukannya pesta membeli belah baik beli makanan atau pun beli kelengkapan raya, biarlah segalanya bersederhana. 

Semoga tip di atas ni memberi manfaat kepada saya dan sahabat semua. 

Salam Ramadhan 2012

Esok semua Islam akan mula berpuasa. Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak kepada semua pembaca blog ini. Ampun dan maaf dipohon di atas kesilapan sepanjang saya menulis di blog ini yang mungkin tanpa disedari telah menyinggung perasaan pembaca blog ini.


Saya doakan semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik untuk kita semua. Bersama-samalah kita merebut ganjaran pahala yang dijanjikan Allah pada bulan Ramadhan ini.


Semoga kita sentiasa cergas sepanjang Ramadhan ini.

KESILAPAN YANG DILAKUKAN KETIKA MENJALANI IBADAH PUASA

Kuliah zohor terakhir tengah hari semalam kerana akan dihentikan  sementara sehingga berakhirnya Ramadhan. Ini adalah kerana waktu rehat hanya setengah jam setiap hari sepanjang Ramadhan ini. 

Berikut adalah beberapa kesilapan yang sering kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan sebelum ini dan mari la kita berdoa semoga kita dapat mengerjakan ibadah puasa tahun ini dengan lebih baik berbanding sebelum ini. 


1. Lafaz Niat Puasa Pada waktu sahur 
Lafaz niat sepatutnya dilafazkan pada malam hari bukannya pada waktu sahur atau pun sebaik saja bersahur. 
Setiap malam kena lafaz niat puasa. 

2. Makan dan minum dengan sengaja di depan orang yang berpuasa ketika haid atau pun apa jua alasan yang dibenarkan untuk berbuka. 

Saya akui pernah makan dengan selamba ketika sahabat saya sedang berpuasa , maklumlah di dalam jabatan saya ni hanya kami berdua je yang beragama Islam, kedudukan beliau yang membelakangi saya memudahkan saya mengunyah roti dengan selamba je kala waktu rehat , sepatutunya saya perlu makan di tempat tersembunyi di dalam stor, contohnya. Walaupun sahabat tadi membelakangi saya dan ralit membuat kerja beliau, itu tetap di larang. Insyaallah tahun ni, kami berdua dah pun bersepakat, kalau salah seorang tak puasa, mesti makan dalam stor, kalau sama-sama tak puasa, kita makan je di meja kita sebab staf-staf lain semuanya keluar makan masa tu kerana mereka bukan Muslim. 

Berterusan makan dan minum selepas terbatal puasa dengan sengaja 

Ini contoh yang ustaz berikan tadi: 

Seorang isteri telah dipaksa melakukan persetubuhan oleh suaminya, selepas bersetubuh, suami isteri tadi perlu meneruskan puasa mereka hingga waktu berbuka walaupun puasa itu telah pun terbatal. 

3.Bersahur di tengah malam. 
Ianya tidaklah menjadi satu kesalahan untuk makan di tengah malam, tetapi kita tidak akan mendapat keberkatan sahur yang dijanjikan Allah sekiranya makan dengan niat sahur ketika waktu tengah malam. 

Amatlah rugi sekiranya kita membiarkan keberkatan yang dijanjikan Allah sedangkan kita boleh bersahur pada waktu sahur dengan hanya meminum seteguk air. 

Apatah lagi , waktu sahur adalah waktu dimana doa paling mustajab. 

Bangun sahur dengan niat sekadar untuk menyediakan hidangan untuk keluarga 
Para isteri amat bertuah kerana berpeluang mendapat ganjaran yang besar ketika menyediakan sahur tetapi ramai yang terlupa sebenarnya selain daripada menyediakan hidangan, kita juga boleh melakukan amal ibadat lain sebelum menyediakan hidangan atau selepas bersahur. 

Antaranya kita boleh melakukan solat sunat, mengaji Al Quran, berzikir dan mendengar bacaan Al Quran daripada CD sekiranya kita dalam  haid. 
Malahan kita turut boleh berzikir ketika sedang memasak hidangan sahur. 


4. Tidak menunaikan solat fardu dan tidak menutup aurat ketika berpuasa. 
Memang puasa itu sah tetapi tidak mendapat pahala, solat fardu di bulan puasa mendapat gandaan 700 kali. 
Solat fardu dan menutup aurat adalah kewajipan ke atas setiap orang Islam yang telah baligh. 

5. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah. 
Ramai yang memilih solat sendirian kerana ingin cepat tidur . 

6. Solat di masjid kerana inginkan kemeriahan. 

7. Malas bekerja ketika siang hari 
Puasa sepatutnya mencergaskan kita . 

8. Memperbanyakkan tidur di siang hari 

9. Wanita tidak menutup/menjaga aurat dengan sempurna ketika ke masjid. 
Ustaz memberikan contoh , ada yang memakai kaftan berlengan pendek dan mengangkat kain ketika melangkahkan kaki di tangga masjid hingga menampakkan betis. Seeloknya pakailah stoking ketika ke masjid.


Semoga entry ini dapat membantu kita dalam memperbaiki amal ibadat kita di bulan Ramadhan kali ini. Insyaallah. 

Keputusan Ujian Mamogram

Hari ni saya bercuti sebenarnya...sekian lama saya berperang dengan perasaan sendiri tentang apa yang saya rasa...berdenyut, sengal, senak semua ada rasa , senang cerita.


Mengenangkan usia dah pun menginjak 40 tahun, berat badan berlebihan dah pun 6 tahun, saya nekad untuk melakukan ujian mamogram hari ni. Mesti buat kalau tidak saya akan dihantui oleh 1001 perkara negatif.


Dah la nak puasa dah minggu depan, kalau fikiran asyik fikirkan tentang perkara yang entahkan betul entahkan tidak, ibadah puasa pun boleh terganggu jadinya.


Memang berdebar gila kala menunggu nama dipanggil untuk melakukan ujian tersebut..oh ya saya lakukan ujian di Twin Towers Medical Centre, KLCC.


Sebelum ni pernah dengar cerita betapa sakitnya ketika ujian tu dilakukan, ketika menunggu tadi tu, memang saya tak dapat nak bayangkan macam mana rupa bentuk ujian tu bakal dilakukan.


Masuk ke bilik mamogram, ketika menukar pakaian, saya dah boleh bayangkan sikit-sikit mengikut imaginasi saya cara ujian di lakukan.


Bila dah ready, Jurux-ray masuk nak menerangkan serba sedikit tentang ujian tu dilakukan. Pada usia bawah 40 tahun , tisu di dalam payudara masih kental , sukar nak tembusi betul-betul..andaikata selepas ujian ni dilakukan , doktor agak kurang pasti dengan imej tu nanti, puan akan diminta melakukan ujian Ultrasound.


Ok, tak nak berdebar-debar lagi dah, saya angguk dan bagitau dah bersedia.


Hmm tak lah segerun ketika jurux-ray menerangkan cara ujian ini dilakukan tadi..memang bayangkan sakit gila tetapi biasa-biasa saja.


Siap ujian, buat bayaran dan tunggu report daripada doktor.


Lama juga menunggu untuk report, dalam hati jangan ceritalah betapa hebatnya debaran...sukar untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan.


Lidah hanya mampu bertasbih kepada Allah memohon kekuatan.


Akhirnya, bersyukur sangat bila doktor cakap semuanya normal saja, kadang-kadang apa yang rasakan seperti sengal, berdenyut , senak adalah disebabkan oleh perubahan hormon dan juga aktiviti kita seharian , mungkin mengangkat barang berat atau senaman yang agak lasak. 


Hmmm saya selalu mengubah susun atur perabot di dalam rumah....mungkin itu salah satu penyebabnya.


Syukur padaMU YA ALLAH!

Syhhh ! Kurangkan bercakap


Firman ALLAH SWT: 
“Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatatnya).”
 
(Surah Qaf ayat 18)

Ulasan  Ayat :
 

1.        Ayat ini telah mengingatkan kita bahawa ALLAH itu ada pekerja-pekerjanNYA yang tidak pernah lalai daripada melakukan tugasnya, dan sesungguhnya setiap perlakuan kita sentiasa dicatat sekalipun satu patah perkataan. Maka kita hendaklah menjaga lisan kita daripada perkara-perkara yang merosakkan pahala kita atau dianjurkan kepada kita untuk berdiam daripada bercakap pada perkara yang sia-sia.
 

2.        Mengutamakan diam dan sedikit berbicara
 merupakan satu tanda kesempurnaan akal. Sebaliknya banyak berbicara terutamanya dalam perkara-perkara yang tidak berguna menjadi bukti ketidaksempurnaan dan kelemahan akal.
 

3.        Kebanyakkannya dari kaum perempuan dan kanak-kanak termasuk banyak dikalangan golongan yang paling suka berbicara. Ini kerana orang yang memiliki pertimbangan dan akal yang sempurna melihat bahawa ucapan sebagai perkara yang memeberatkan dirinya, bukan sebaliknya. Oleh kerana itu berat untuk berucap sehingga ia jarang bercakap.
 

4.        Manakala orang yang lemah akal ialah orang yang memiliki lisan yang sangat ringan. Ucapan-ucapan yang keluar dari mulutnya, seolah-olah ucapan tersebut sentiasa berda di hujung bibirnya.

5.        Setiap individu hendaklah membiasakan diri untuk sentiasa memperbetulkan diri dan menjaga lisannya, mengekangnya, memikirkan setiap kalimat yang akan diucapkan serta memikirkan akibatnya.
 

6.        Ingatlah, satu kalimat yang keluar dari mulut kita kadang kala boleh menyebabkab kita berdosa kerana terkadang melukakan hati seseorang, sehingga boleh menyebabkan pahala kita hilang.
 

7.        Untuk mengenali seseorang itu,
 maka lihatlah melalui percakapanya, begitu juga dengan diri kita sendiri, kita boleh mengoreksi diri kita, setiap hari apakah yang kita sering perkatakan? Perkara apa yang kita sering perbincangkan? Urusan apakah yang kita sering tuturkan? Semoga kita semua terpelihara daripada sifat-sifat yang tercela. “ Banyak bercakap itu mematikan hati”-Al Hadis-
 

8.        “ Kebaikkan itu terkandung dalam 3 perkara: 1) Setiap perkara yang dilihat tanpa mengambil iktibar itu adalah sia-sia, 2) Setiap kali diam tanpa berfikir itu adalah lalai 3) Setiap percakapan tanpa zikir maka itu adalah lagha.-Saidina ALI-
 

       WALLAHU’ALAM
 

Review Novel Terlerai Kasih

Novel ni sebenarnya dah 2 minggu habis dibaca tapi malas nak update pada blog.

Ok, saya cadangkan anda baca novel ini kerana tidak klise seperti novel lain dan tidak membosankan.




Review Novel Teduhan Kasih

Sedang baca....nak habiskan proses bacaan novel sebelum tibanya Ramadhan....lepas tu lupakan kejap novel-novel ni..

Setakat separuh bacaan novel ni, boleh la dikatakan ada kelainan dan mempunyai jalan cerita tersendiri. Tahniah Marissa!



Review Novel Mampu Menyintaimu

Novel ni baru je dihabiskan bacaannya...sekarang ni memang tak sempat nak review panjang-panjang, lagi elok kot kalau tersalah komen, kena smash balik hu hu.

Ok, novel ni best, boleh la dibaca dan ada kelainannya...dicadangkan untuk anda baca kalau anda tak tau nak baca novel apa.



Review Novel Kahwin Ganti

Baca separuh jalan je...ntah la bukan tak sedap , mungkin tak begitu kena dengan selera saya.


Apa pendapat kawan-kawan yang dah baca novel ni?

TEKA TEKI IMAM AL GHAZALI

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = " Orang tua "
Murid 2 = " Guru "
Murid 3 = " Teman "
Murid 4 = " Kaum kerabat "
Imam Ghazali = " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"
Murid 1 = " Negeri Cina "
Murid 2 = " Bulan "
Murid 3 = " Matahari "
Murid 4 = " Bintang-bintang "
Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".

Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?"
Murid 1 = " Gunung "
Murid 2 = " Matahari "
Murid 3 = " Bumi "
Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."

IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia? "
Murid 1 = " Baja "
Murid 2 = " Besi "
Murid 3 = " Gajah "
Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"
Murid 1 = " Kapas"
Murid 2 = " Angin "
Murid 3 = " Debu "
Murid 4 = " Daun-daun"
Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "

Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? "
Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "
Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri " 

Kuliah Zohor - Catatan untuk blog

Oleh kerana kekangan waktu yang amat meruncing, sekarang ni setiap kali lepas Kuliah Zohor di pejabat , saya curi masa kala free sikit-sikit untuk menaip semula apa yang ditulis di dalam buku nota ketika kuliah zohor berlangsung, sekurangnya mendapat manfaat bersama. 

Taip dan email kepada gmail saya, lepas tu copy paste pada blog, kelam kabut balik rumah sebelum jemput anak-anak dari sekolah dan tadika untuk buat kerja-kerja copy paste entry...ini  yang mampu saya lakukan agar dapat mengelakkan blog ini bersawang dan dalam masa yang sama dapat la saya panjangkan ilmu yang saya perolehi setiap hari ketika Kuliah Zohor, kebanyakkannya semua dah tahu tetapi tak salah untuk saling mengingati antara satu sama lain. 



5 Perkara Yang Diinginkan 

Perasan tak ada 5 perkara yang sentiasa kita inginkan dan kita sentiasa berusaha untuk mendapatkannya: 

1. Wajah yang cantik berseri 
2. Duit yang banyak 
3.Kesihatan yang baik 
4. Anak-anak yang cerdik pandai 
5.TIdur yang nyenyak tanpa gangguan. 


Petua untuk mendapatkannya tidaklah susah tetapi agak berat untuk dilakukan jika tidak cukup kuat kemahuan untuk melakukannya: 

Nabi Muhammad saw: 

siapa yang tinggalkan solat subuh tiadalah padanya nur di wajahnya
dan siapa yang tinggalkan solat zohor tiadalah padanya rezki yang berkat


dan barang siapa yang tinggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan,dan siapa yang tinggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak2 yg bermanfaat
dan barangsiapa yang tinggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak


MUTIARA RAMADHAN


Memandangkan bulan Ramadhan sudah menghampiri kita, saya ambil kesempatan ini untuk bersama-sama berkongsi sesuatu yang mungkin bermanfaat untuk kita semua. Semuanya telah pun diketahui oleh kita tetapi anggaplah ini sebagai ulangkaji untuk diri sendiri. 



1.KELEBIHAN BULAN RAMADHAN 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"Telah datang bulan Ramadhan yang penuh berkat kepadamu. Dengannya, Allah swt melimpahkan rahmatnya, mengampunkan dosa dan mengabulkan doa. 

Pada bulan itu Allah swt melihat perlumbaan dalam mengerjakan ibadah dan membangga-banggakan kamu dihadapan para malaikat.  Oleh kerana itu, tunjukkanlah kepadanya kebaik-kebaikan dirimu. Maka sesungguhnya orang-orang yang celaka adalah mereka yang tidak mendapat rahmat Allah swt pada bulan Ramadhan". (Riawayat An-Nasai) 

2. PUASA MENGAMPUNI DOSA 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah swt dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

3.KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN 

Allah Berfirman yang bermaksud: 
"Setiap amal anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri melainka puasa. Sesungguhnya puasa itu bagiKU dan AKU yang akan membalas puasanya." (Hadith Sahih Riwayat Bukhari) 


4. AMARAN BAGI YANG MENINGGALKAN PUASA 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"barangsiapa berbuka puasa Ramadhan sehari tanpa rukhshah ( alasan yang dibenarkan) atau sakit, maka dia tidak akan dapat menebus dosanya walaupun dengan berpuasa seumur hidup. ( Riwayat Bukhari dan Muslim) 

5. PUASA RASULULLAH SAW 

Rasulullah saw sering berpuasa sehingga kami menyangka beliau akan berpuasa seterusnya dan beliau sering berbuka sehingga kami menyangka beliau akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat beliau berpuasa sebulan penuh kecuali dalam bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat beliau berpuasa sunat dalam sebulan lebih banya di bulan Syaaban. (Sahih Muslim) 

6. KELEBIHAN BERSAHUR 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya memberi selawat kepada orang -orang yang makan pada waktu sahur. ( RIwayat Ahmad) 

Antara waktu Allah qabul doa ialah sahur. Masa itu doa banyak2 dalam hati sambil makan, sahur waktu Allah turun ke langit dunia sebagaimana sabda rasulullah SAW : " Siapa yang memohon,akan Aku beri. Siapa yang berdoa, akan Aku kabulkan. Siapa yang memohon keampunan,akan Aku beri keampunan" ( HR al-Bukhari dan Muslim ). 

7. IBADAT MALAM & TERAWIH 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"Sesiapa yang beribadat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimananda mengahrapkan akan pahal daripada Allah swt,nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. ( Riwayat Imam Bukhari) 

8. WAKTU BERBUKA PUASA 

Apabila malam telah datang, siang telah hilang dan matahari terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka. ( Hadith sahih Riwayat Muslim) 

9. LIPAT GANDA PAHALA PUASA 

Daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah  saw , baginda bersabda maksudnya: 

"Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipatgandakan pahalanya  kepada 10 hinggalah ke 700 kali ganda kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKU dan AKU memberikan balasan pahala kepadanya , kerana dia ( orang yang berpuasa) telah  meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana AKU. ( Hadith Qudsi Riwayat Muslim). 

10. PUASA ITU PERISAI 

"puasa itu bagaikan perisai , maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dna jangan berkata kasar, jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan: AKU INI BERPUASA ( HR Bukhari) 

11 LAILATUL QADAR 
"Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 malam terakhir iaitu malam 21 atau 23 atau 30, maka yang bertepatan bangun solat malam kerana iman dan mengharap pahala akan   diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dan akan datang. (Hadith sahih Riwayat Atthabarani) 

12.. KELEBIHAN BERSEDEKAH DI BULAN RAMADHAN 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"barangsiapa memberi makan kepada orang berbuka puasa maka dia memperoleh pahala orang berkenaan,dengan tidak mengurangi pahala orang yang berpuasa ( penerima makanan) dengan sedikitpun. ( HR Tirmidzi). 

13. KELEBIHAN PUASA SUNAT SYAWAL 

Nabi s.a.w bersabda maksudnya: 

"Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal ganjarannya adalah seperti puasa selama setahun. (Riwayat Muslim). 

14. KELEBIHAN HARI RAYA 

" Sesiapa yang bangun pada ke dua-dua malam Raya ( Idul Fitri dan Idul Adha) dengan ikhlas kerana Allah,maka tidak akan mati hatinya apda saat hati semua orang telah mati. ( HR Ibnu Majah dari ibnu Umamah). 


Sekian, catatan perkongsian untuk hari ini. 

Review Novel Suamiku Tak Romantik Tapi Autistik


Apa pendapat anda yang telah membaca novel ini? 

Sejujurnya saya langkau ..baca...langkau...baca...langkau...baca sedar dah sampai ke muka surat terakhir.

Bukanlah tak best sangat-sangat cuma tak menepati selera saya .

Mungkin orang lain suka novel ni.

Mulanya saya betul-betul menghayati watak mamat autistik yang bernama Boboy ni..tapi lama-lama macam keliru pulak saya jadinya bila dia tipu-tipu je jadi autistik.

Apa pun ada jugak part-part yang menghiburkan.

Cuma itu lah, saya banyak langkau mukasurat.

p/s: terbayang muka Yus Rajalawak pulak bila sampai part mamat autistik ni..ishh tak baiklah saya.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Tengah hari tadi ada kuliah zohor mengenai Persediaan Menyambut Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Azman , dari Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ustaz berpesan agar kongsi-kongsikan la apa yang disampaikannya hari ini dalam apa jua bentuk medium samada SMS, FB , Blog, Email atau apa saja kerana ianya bermanfaat untuk kita semua. 



Persediaan sebelum Ramadhan yang perlu dilakukan lebih awal , cantik sangatlah kalau sekarang kita dah mula lakukan persediaan itu sebab dah tinggal 11 hari je lagi Ramadhan akan menjelma. 

Oleh kerana saya tidaklah begitu cekap menterjemahkan kata-kata yang disampaikan oleh Ustaz ke dalam bentuk tulisan ,awal-awal saya memohon maaf andainya terdapat ayat yang mengelirukan pembaca semua ye! 

Secara ringkasnya,  tujuan persediaan ini adalah sangat penting agar hati kita menjadi ikhlas untuk menunaikan ibadah Puasa , bila hati ikhlas tidak akan timbul rasa "keterpaksaan", bila rasa terpaksa sudah tentu memberi kesan kepada pahala puasa. 

Antara persediaannya  yang kita semua patut lakukan : 

1. BERDOA 
a. Berdoa kepada Allah agar kita diberi kesempatan untuk sampai kepada bulan Ramadhan. 
b. Berdoa kepada Allah agar kita diberikan kesihatan yang baik dan diberi kemampuan untuk melakukan ibadah puasa dengan sempurna. 
c. Berdoa kepada Allah agar amalan kita diterima. 

** Sesungguhnya doa sentiasa berperang dengan takdir, dengan berdoa yang bersungguh-sungguh dapat menangguhkan takdir. 

Doa yang dianjurkan untuk kita membaca sebagai persediaan menyambut Ramadhan adalah seperti berikut, yang bermaksud: 

"Ya Allah Ya Tuhanku! Datangkanlah Ramadhan ke atas kami dengan kebahagiaan dan keimanan,keselamatan dan juga agama Islam dan taufik kepada apa yang Engkau suka dan Engkau redhai Tuhanku dan Tuhan Kau Ya Allah" 

2. BERSYUKUR 
a. Banyakkan memuji Allah dan zahirkan rasa syukur dengan kehadiran Ramadhan. 

Banyakkan mengucap "Alhamdulillah" dan "Alhamdu Wa Syukru" 

Lakukan sujud syukur salah satu cara untuk menzahirkan rasa syukur . 

3. ZAHIRKAN KESERONOKAN 
a. boleh mengadakan doa selamat, jemput jiran tetanga dan sahabat 
b. menghantar kad ucapan sempena menyambut Ramadhan 
c.saling mengucapkan selamat menyambut Ramadhan. 
d. menyediakan pakaian yang baru ( tidak sepertinya beli baru tetapi guna semula yang mungkin dah lama tersimpan )dan bersih . 

4. CERITAKAN TENTANG RAMADHAN KEPADA ANAK-ANAK 
Kongsikan kelebihan Ramadhan kepada anak-anak, apakah kebaikan berpuasa, apakah ganjaran untuk orang berpuasa dan sebagainya



5.TAMBAHKAN LAGI ILMU DAN KEFAHAMAN TENTANG HUKUM HAKAM BERPUASA. 
Banyakkan bertanya dan merujuk kepada orang yang lebih mahir tentang hal hal agama. 

6. UCAPKAN AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN atau MARHABAN YA RAMADHAN kepada diri sendiri. 


Kuliah Zohor terhenti sampai takat ni je tadi kerana masa hanya sejam je...Insyaallah Ustaz akan menyambung lagi pada kuliah akan datang. Semoga catatan ringkas ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada kita semua. 

Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan terbaik bagi kita semua. Insyaallah! 



p/s: kalau ada kesalahan di dalam ringkasan ini, sila tegur-tegur saya pada ruangan komen tu,, maklumlah budak baru belajar.

Poligami Rasulullah S.A.W - sambungan entry sebelum ini

Tertarik pula untuk berkongsi tentang rencana yang saya baca di dalam majalah Solusi ini, sambungan entry INI.

Mungkin dah ramai yang tau tentang poligami Rasulullah S. A.W..tak mengapalah kalau ulangbaca sekali lagi ye..

Rasulullah hidup bahagia bersama Khadijah yang 15 tahun lebih tua daripada usia baginda. Keperluan hidup baginda terurus, kerja dakwah teratur dan masa mengabdikan diri kepada Allah terjamin. Khadijah la yang menyempurnakan semua itu.

Selepas Khadijah meninggal dunia, semua keperluan Baginda sudah tidak seperti sebelumnya. Keperluan Baginda tidak terurus lagi, malahan ancaman Quraisy semakin menjadi-jadi.

Setelah 3 tahun menduda dan bersendirian menguruskan kehidupan, Rasulullah mengahwini Sawdah binti Zam'ah. Itu pun untuk melindunginya setelah Sawdah kematian suami sebaik saja pulang dari Habsyah. Walaupun Sawdah  ketika itu sudah berusia 66 tahun, tidak jauh berbeza dengan usia Rasulullah , namun keperluan Rasulullah dalam 3 perkara tadi tu masih tidak terjamin seperti ketika diuruskan oleh Khadijah ( keperluan hidup, kerja dakwah dan masa mengabdikan diri kepada Allah).

Untuk menghiburkan hati Rasulullah, Abu Bakar menawarkan anaknya Aisyah untuk dijadikan isteri Baginda. Bagi menghormati sahabat yang paling baik dan akrab, Rasulullah terus menerima tawaran itu. Disamping itu,  Rasulullah mengahwini Aisyah r.h.a disebabkan wahyu Allah s.w.t

Di bawah ini ringkasan kenapa Rasulullah berpoligami dengan isteri - isteri selain 3 nama di atas.

Hafsah binti Umar
1. Memberi perlindungan kepada janda sahabat yang gugur syahid.
2. Mnegeratkan tali persahabatan dengan sahabat iaitu Umar bin al-Khattab.
3. Memuliakan sahabat yang banyak membantu perjuangan menegakkan Islam.

Zainab binti Khuzaimah
1.Memberi perlindungan kepadanya kerana suami -suaminya terdahulu telah banyak berjasa kepada Islam.
2.Untuk menghilangkan kesedihan yang datang bertimpa-timpa.
3.Untuk memelihara dan memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya yang telah kehilangan bapa

Ummu Salamah binti Umayyah
1.Menghilangkan rasa sedih dan menghargai jasa suaminya terhadap Islam.
2.Sama-sama memelihara anak-anak yang ditinggalkan ayah demi Islam
3. Memuliakan dan menghormati iseri daripada golongan orang yang baik-baik.

Zainab binti Jahsh
1.Menghapuskan kepercayaan generasi pada waktu itu bahawa isteri anak angkat haram berkahwin dengan bapa angkat.
2.Memberi penghormatan kepada Zainab.

Juwariyyah binti Harith
1.Menghapuskan rasa dendam Bani Mustaliq terhadap kaum Muslimin selepas tewas dalam peperangan.
2.Melindungi janda dan menjauhkannya daripada menjadi hamba.

Ummu Habibah binti Abi Sufyan
1. Supaya dia tidak hanyut dalam gelombang penderitaan yang mungkin dapat mengubah pendirian serta imannya.
2. Menyelamatkannya daripada terjerumus dalam kesesatan sebagaimana yang telah dilakukan oleh suaminya.
3.Sebagai penghargaan Rasulullah terhadap keteguhan imannya yang tetap berpegang teguh dengan Islam walaupun suaminya murtad.
4. Menjinakkan hati bapanya iaitu Abu Sufyan yang merupakan musuh ketat Islam.

Safyyah binti Huyay
1.Melindunginya sebagai tawanan perang yang dibebaskan.
2.Memberi penghormatan kepada anak ketua pemimpin Yahudi.

Maymunah binti al-Harith
1.Memuliakan bapa saudaranya, Abbas kerana banyak memberi perlindungan pada peringkat awal penyebaran Islam.
2. Dapat menarik 2 tokoh kafir Quraisy iaitu Khalid bin al-Walid dan Abdullah bin Abbas.

Sekadar untuk perkongsian bersama....semoga ianya bermanfaat dan memberi panduan.

KREDIT UNTUK MAJALAH SOLUSI.

uncleseekers.blogspot.com

2, 3 hari ni hangat betul dengan cerita Uncle Seeker ditahan polis. Nadhirah yang terdengar berita tu kat radio dalam kereta time saya sedang mengunci pagar, terus suruh saya berjanji untuk bukakan blog Uncle Seekers malam nanti. Malang la kalau berangan nak buka blog time Umar belum tidur, sudahnya berhari-hari berlalu hanya awal pagi ni baru sempat saya membuka blog Uncle Seekers.

Nadhirah bayangkan mesti banyak cerita hantu di dalam blog tu , sebab tu la ditahan polis. he he sabar je la kakak ni.

Saya sebenarnya dah lama gila tak terjah ke sini, bertahun dah kot gamaknya. Entrynya tak begitu menarik hati saya , mungkin tak sesuai dengan jiwa.

Tapi berita penahanan beliau membuatkan saya tergerak untuk menerjah blog beliau, nak tengok apa isi entrynya. 

Ok dah baca beberapa entry beliau yang sungguh banyak itu...no komen sebab memang tak tau nak komen apa pun,semuanya di luar bidang dan di luar pengetahuan am saya yang amat sedikit ini.

Nasihat kepada diri saya , menulis dengan penuh berhemah. Tiada nasihat untuk Uncle Seekers sebab dia memang tak akan datang ke blog ini pun hi hi.


MISTERI POLIGAMI

Tertarik pulak tengok tajuk Majalah Solusi isu ke 40 ni...majalah ni memang boleh je pinjam bawak balik rumah jadi laju je la ambik, hmmm bab poligami!

Nampak kan ada di tulis dengan pen tu..."boleh pinjam bawak balik"
Kita kaum wanita tak suka sikit nak usik bab-bab poligami ni , dalam erti kata lain gok adalah bermadu, kalau minum madu manis je rasa...kalau bermadu tu macam minum hempedu , kata mak saya ( eh mak saya tak pernah bermadu , ntah dari mana dia tau macam minum hempedu tu tak pasti la saya )

Banyak perkara menarik yang boleh dibaca di dalam majalah ni mengenai poligami. Apakah syarat-syarat untuk poligami. Bukan asal berkenan atau jatuh cinta je dengan seorang wanita ( selain isteri), seorang suami tu terus layak untuk berpoligami tau! No no wahai suami...banyak benda yang anda perlu ambik tau.

Ada sesetengahnya mengambil kelemahan isteri untuk dijadikan senjata utama untuk berpoligami. Hmm kelemahan tu perlu dihalusi jugak, kelemahan yang macam mana tu?

Jom kita baca, ada beberapa faktor yang mengharuskan seseorang suami itu berpoligami.

1.Isteri Tidak Mampu Melahirkan Zuriat

2.Isteri Menderita Sakit Kronik dan Berterusan - mengikut hukum isteri yang sakit berhak untuk terus berada di bawah tanggungan suami dan di samping itu seorang isteri lagi perlu menjalankan tugas seorang isteri secara sempurna. Bukan bermakna isteri pertama tu sakit, suami terus tinggalkan dia dan asyik dengan isteri kedua je.

3.Suami Terpaksa Sering Bermusafir a.k.a Outstation

4. Bilangan Wanita Melebihi Lelaki -  sekarang ni memang ramai wanita berbanding lelaki, kan? 

5. Apabila Suami Mempunyai Keinginan dan Kemampuan Seksual yang terlalu tinggi.

Itu baru tentang faktor yang mengharuskan, belum sentuh lagi tentang hukum poligami, apakah kesannya kalau seorang suami itu tidak mampu berlaku adil ketika di dunia dan juga di akhirat kelak, kesan emosi kepada isteri yang teraniaya...pendek kata banyak benda yang perlu diperhalusi dan difikirkan oleh suami sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami.

Kalau nak tau lebih lanjut, boleh baca majalah ni...kalau nak order online untuk keluaran terdahulu pun boleh. 

Bagus baca majalah ni, membantu menyuburkan jiwa dan memberi ketenagan minda.