Memori PKP

Ye itu la tajuk post hari ni. Blog yang dah lama tenggelam dan tak ada pengunjung. Hari ni tuan blog mimpi apa la ye, siap update 2 post lagi.😄.

Ala saja la nak tinggalkan kenangan untuk masa depan cerita ceriti yang dilalui sejak 18/3/2020 hingga ke hari ni 9/9/20.

Masa mula-mula kecoh tentang Covid 19 dulu sekitar Jan-Feb, suasana di tempat kerja masih macam biasa. Masih ada ustaz yang datang memberi tazkirah pada waktu lunch. Masih lagi boleh keluar lunch .Pendek kata masih tiada yang berubah. Anak anak pun  ke sekolah macam biasa.

Masuk minggu pertama March, keadaan ada sikit berubah. Kami dah mula diminta memakai mask, penggunaan hand sanitizer. Dan mula kedengaran kerja akan dijadualkan secara bergilir-gilir di pejabat dan di rumah.

Pada 17/3/20, hari yang agak sibuk. Bos dah mula kena kuarantin sejak 13 hari yang lepas. Dia ada datang untuk mesyuarat berkenaan Covid ni. Kak Aya pulak perlu ke Bank Negara Malaysia untuk menghantar dokumen penting Syarikat. Jadi minah despatch la Kak Aya hari tu, tapi bukan bersendirian, pegawai Kak Aya yang memandu sebenarnya, sampai di Bank Negara, Kak Aya la yang kena ke receiption counter. 

Balik dari Bank Negara, tertunggu -tunggu jugak pengumuman, kot la Kak Aya diminta bekerja dari rumah ke macam mana ..16/3/20 tu dah havoc bila ramai yang membuat belian panik. Kak Aya tak beli apa-apa pun, beras pun tinggal segenggam je time tu.

Dah hampir petang , bos cakap satu jabatan di bahagi kepada 2 kumpulan . Team A dan Team B. Gilir la seminggu Team A datang, Team B bekerja dari rumah, begitu la seterusnya hingga dapat perkembangan terkini. 

Malam tu dalam Berita diumumkan PKP selama 2 minggu. Bos update semula malam tu juga, bekerja dari rumah semua sehingga tamat tempoh PKP.

Bermula la satu norma baru sebenarnya bermula tarikh PKP tu. Kak Aya keluar bergilir dengan suami untuk membeli keperluan harian. 

Mula mula tu rasa macam satu kepelikan bila ada beberapa buah kereta je di atas jalan raya. Lama-lama rasa seronok pulak sebab tak kesesakan. 

Sekarang Kak Aya rindukan tempoh PKP kerana ketika itu kami semua berkumpul di rumah dengan rutin masing-masing. 

Yang paling seronok dalam rumah tu adalah Umar kerana dia tidak begitu mengendahkan kerja sekolah, hari hari adalah hari untuk games yang mana akhirnya dia terima akibat daripada keseronokan itu , handphone nya ditarik balik. Hmm siapa yang bersalah? Diri sendirilah.

Nadhirah memang sibuk dengan kelas online pagi dan petang, Dia bakal menduduki SPM pada Jan dan Feb 2021 nanti.

Zahra pun tak kurang sibuknya kerana kedua-dua sekolahnya ( Sek Keb dan Sek Agama) menyediakan kerja sekolah. 

Mama menjadi oang yang paling sibuk ketika itu. Masak 3 kali sehari. Makanan sentiasa kena ada sebab semua menjadi cepat lapar.

Malam-malam semua tidur lewat, Pukul 1-2 pagi tu adalah sangat waktu normal bagi kami untuk tidur.

Apa kami buat sehingga waktu itu? Abah dan kakak bersilih ganti download movie dan Running Man.

Kami ditetapkan utk melaksanakan Solat secara berjemaah, mengaji dan makan bersama pada waktu malam. Siang memang kami agak terikat dengan jadual kerja dan jadual kelas . 

Pukul 9 malam biasanya kami akan mula menonton, Kak Aya adakalanya join mereka dari awal tapi selalunya join lambat kerana awal-awal malam Kak Aya selesaikan tugasan mengemas . 

Duduk seharian di rumah dengan keadaan macam tu memang kena sentiasa tenang , jadi kekemasan rumah amat penting, setiap malam memang wajib untuk mengemas dari depan pagar sampai ke belakang rumah. Bila semua dah settle baru la Kak Aya akan join anak-anak menonton. Suami kadang-kadang menonton sama kadang-kadang berehat je.

Biasanya jugak, kalau dah mula pukul 11 ke atas, rasa lapar akan datang semula, time ni la Umar atau Nadhirah akan masuk dapur. Kat rumah mesti ada roti, time tu kan kita selalu dengar kehabisan roti. Alhamdulillah Kak Aya tak pernah putus stok roti, biasanya pukul 9 pagi lori roti Gardenia akan sampai  di Speedmart area rumah Kak Aya, time tu Kak Aya dah tercegat menunggu, ngam2 je lori sampai. Memang time pagi seawal tu ada sorang dua je pun customer yang menunggu. 

Jadi tiap hari wajib ada roti kat rumah, untuk dijadikan roti goreng telur + cheese, roti bakar bersama mentega, roti bersalut nutella, roti goreng ala French Toast macam macam jenis makanan berasaskan roti.

Tak pelik kalau semua pakat naik berat badan. Begitulah putaran hari demi hari. Kiranya malam ketika semua dah nak tidur, soalan tentang makan akan kedengaran. Esok apa menu sarapan, tengahri dan malam kita? 

Bangun pagi je memang dah kena ada idea untuk sarapan. Pukul 6 dah masuk dapur , sebab 8.30 dah kena ngadap kerja. 

Ramai yang mengeluh kebosanan kerana tak dapat keluar tapi kami ni biasa biasa aja sebab rutin kami pun biasa kat rumah saja. Tak banyak beza dengan PKP. Memerap je. 

Ramadhan kami macam biasa je . Bezanya malam tak dapat ke surau, kami melaksanakan solat terawih di rumah saja. Mengaji sama-sama. Cuma ada beza berbanding bulan lain adalah kami tidur lebih awal dari biasa. 

Pertamanya mungkin kerana tidak makan ketika siang, badan jadi letih, bila masuk makanan badan bertambah letih gamaknya. Tapi bagi Kak Aya memang kena tidur awal sebab kena sediakan makanan untuk sahur. Tak nak lambat bangun nanti kelam kabut namun ada jugak 1 hari yang Kak Aya terbabas tidur dan kami sempat minum air saja untuk sahur pagi tu. Alhamdulillah kami dapat sempurnakan puasa macam hari hari yang lain.

Aidilfitri kami memang terasa berbeza kerana tak dapat balik mana-mana kampung, kalau ikut turn tahun ni kami beraya di Terengganu. Nampaknya 2021 kami akan beraya di Terengganu la. Insyaallah.

Juadah kami pada Aidilfitri yang lalu adalah Nasi Arab yang tidak begitu Arab hehe. Boleh la untuk kenyangkan perut sesama kami . Adik sekeluarga dan Ucu ada bertandang, lepas tu kami semua tidur saja.

Hari hari selepas tu, kami teruskan dengan rutin harian kami sebagai seorang pekerja dan seorang pelajar bagi anak-anak.

Rutin kami mula berubah bila sekolah mulai dibuka semula dengan pelajar SPM terlebih dahulu hadir ke sekolah. 

Jadi kami menghantar kakak balik ke asrama sehari sebelum sekolah dibuka dengan penuh rasa kesedihan he he ..yelah lama kot kami semua duduk je di rumah dengan rutin kami tiba-tiba nak berpisah tu rasa berat la sikit, tapi hidup kena teruskan macam biasa.

Kami mak ayah masih bekerja di rumah macam biasa. Kak Aya mula masuk ofis secara rotation bermula 10/8/2020, lama kan duduk kat rumah.

Rotation weekly basis, ok Kak Aya happy sangat walaupun bergilir mingguan . Asalnya mohon untuk bekerja dari rumah sepenuhnya kerana Syarikat ada sediakan survey, boleh pilih apa saja tapi keputusan akhir tentunya la ditangan pihak Syarikat.

Akhirnya Syarikat menentukan semua pun kena rotation weekly basis. Ok no problem boss!

Zahra adalah orang kedua ke sekolah selepas Nadhirah. Zahra bersekolah 2 hari saja untuk Sekolah Agama iaitu setiap Isnin dan Selasa. Mungkin jadual ini akan berubah pada Oktober, tak pasti lagi kerana setakat hari ni belum ada perubahan lagi .

Umar ke sekolah pada 4/8/2020. Sehingga sekarang dia baru dapat balik bermalam pada Hari Raya Aidiladha yang lalu. 

Mungkin minggu ni dia dapat balik. Insyaallah.

Macam macam kan yang kita boleh tengok sepanjang tempoh PKP ni..ada yang takut sangat sangat nak keluar rumah. Ada yang kalau boleh tak nak jumpa orang langsung. Ada yang biasa-biasa je tapi sentiasa mengikut SOP - Kak Aya la orangnya hi hi, Kak Aya tenang tenang saja sepanjang tempoh PKP. 

Ada yang langsung tak nak dengar arahan kerajaan, terpaksa lah kerajaan mengenakan tindakan keras. Susahnya nak dengar arahan ye? Suruh duduk rumah pun pun payah nak ikut. Aduii la. 

Masa tu memang rasa simpati sangat dengan Frontliners kita, sampai sekarang pun rasa terhutang budi sangat dengan mereka, semoga Allah membalas jasa baik mereka semua dengan sebaik baik ganjaran. 

Adik2 yang menjadi runners pun sangatlah dihargai kerana memudahkan kami yang duduk rumah tak kira la runner untuk apa pun jua.

Dan bila sebut Covid, orang yang sentiasa terbayang di mata adalah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah sangat popular , tak lupa juga Dato Seri Ismail Sabri. Yelah hari hari menunggu update daripada mereka berdua ni. Penuh debaran menunggu update kes baru dan kes kematian.

Selain tu doa memohon Covid ni dihapuskan setiap hari kedengaran sehingga kami satu rumah menghafaz dengan hanya mendengar pagi dan petang. 

Banyak la memori tentang Covid dan PKP ni.Ini sekdar cerita yang terlintas di dalam fikiran. Mungkin akan ada Part seterusnya bila ada idea datang lagi.


Terima kasih kalau ada yang sudi baca hingga ke noktah terakhir.

Gambar percutian terakhirir kami ..sekadar hiasan.












0 comments :

Post a Comment